Kata orang, kalau nak pergi temuduga, "first impression" tu penting. Sebab para panel masih belum mengenali dengan jelas siapa diri anda. Mereka hanya mampu menilai menerusi prestasi semasa yang anda tonjolkan pada saat itu. Mahu atau tidak, anda mesti menggunakan kesempatan terhad itu dengan mempamerkan kualiti dan kredibiliti diri sebaik mungkin.
Kelihatannya macam tak adil, bukan? Tapi itulah situasi yang perlu anda tempuhi. Bersaing secara sihat dengan calon lain untuk dipilih menjawat sesuatu jawatan yang dipohon.
Sebagai garis panduan, persiapkan diri anda dengan melengkapkan senarai semak berikut:
1. Berpakaian kemas. Walau apa jawatan yang anda pohon, aspek pakaian teramatlah penting. Tak syak lagi.
Ini kerana pada pandangan pertama panel, karisma anda dapat dilihat melalui aspek pemakaian. Begitu juga dengan tingkah laku yang menyenangkan dan riak muka yang bersemangat.
2. Ketepatan masa. Datang lebih awal kira-kira 30 minit daripada waktu temuduga.
Datang awal bermakna anda mempunyai lebih masa untuk bersedia. Barulah tak kelam-kabut dan nampak lebih tenang.
3. Susun segala dokumen yang diperlukan dengan teratur. Sama ada sijil asal mahupun salinannya.
Letakkannya dalam satu fail khas. Jikalau panel ingin melihat dokumen asal ataupun sekadar mahukan salinannya saja, mudah untuk anda memberikannya.
Secara tak langsung, anda telah menunjukkan kepada panel bahawa anda seorang yang bersistematik.
4. Semasa berkomunikasi dengan penemuduga, lontaran suara anda hendaklah terang dan jelas. Jawab dengan penuh yakin dan ikhlas. Elak juga daripada tergagap-gagap.
Beri idea yang bernas dan tunjukkan yang anda berpendirian tegas. Tunjukkan yang anda seorang yang luas pengetahuan.
Semasa anda menjawab soalan, pandanglah pada panel yang bertanya. Usah sesekali tundukkan kepala. Yakinlah dengan setiap jawapan anda.
5. Untuk tampil lebih yakin, buatlah sedikit kajian mengenai syarikat yang memanggil anda ke sesi temuduga. Antaranya seperti latarbelakang dan maklumat lain berkenaan syarikat tersebut.
Ini menandakan yang anda amat berminat berkhidmat di syarikat terbabit.
6. Sekiranya panel bertanyakan sama ada anda mempunyai sebarang soalan di akhir sesi temuduga, ambillah kesempatan yang diberikan.
Tanyalah sesuatu yang berkaitan dengan syarikat ataupun skop jawatan yang dipohon. Tunjukkan anda seorang yang komited dan bersedia pada bila-bila masa saja untuk berkhidmat dengan syarikat.
7. Sebagai nilai tambah, nyatakan kemahiran tambahan yang anda miliki. Contohnya dari segi bahasa. Selain Bahasa Melayu dan Inggeris, mungkin anda boleh berbahasa Arab, Jepun, Jerman, Perancis, Mandarin ataupun Itali.
Sekiranya syarikat tersebut adalah syarikat multinasional, ianya boleh memberikan sedikit kelebihan buat anda.
#-----------------------------------------------------------------------------------------------------#
Sekiranya anda merasakan tips temuduga ini berguna dan ingin menyebarkannya kepada umum, silalah berbuat demikian. Usaha anda amat dialu-alukan. Cuma anda perlulah meletakkan sekali link asal blog ini iaitu http://tipslulustemuduga.blogspot.com
Kerjasama tuan/puan amat saya hargai.
#-----------------------------------------------------------------------------------------------------#
0 comments:
Post a Comment